ASAL USUL DAERAH TEMERLOH

 

rumahrakit sejarah2

 

Temerloh merupakan sebuah bandar yang maju dan tersusun. Ia terletak di Pahang Tengah dan merupakan pusat pertemuan antara Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Temerloh juga terkenal dengan jolokan Bandar Ikan Patin kerana ikan jenis ini banyak terdapat di sini, dan terletak berhampiran dengan sungai yang dikenali sebagai Sungai Pahang.Di sini diceritakan serba sedikit mengenai sejarah Bandar Temerloh. Menurut hikayat Melayu dahulu kala, Temerloh bukan sahaja tempat yang terakhir bagi Batin Seridun, di mana beliau menguasai kawasan antara Gunung Senyum di sebelah barat dan Bukit Gebuk di sebelah timur. Jesteru, nama ini telah dipilih oleh Batin Seridun bagi menamakan salah sebuah daerah di dalam negeri Pahang sejak daerah ini ditubuhkan pada 1 Julai 1889.Menurut cerita Batin Seridun, pada suatu hari zaman dahulu, anak raja dari Minangkabau iaitu Sujudbilang dan abang-abangnya telah meninggalkan Minangkabau. Mereka berlayar ke Daik dan dari sana meraka ke Pahang. Setelah diperkenankan oleh Bendahara Pahang, mereka menaiki sebuah perahu galah lalu menyusur sepanjang Sungai Pahang. Setelah beberapa lama perahu itu mudik, maka perahu yang membawa rombongan itu telah sampai di tempat yang dikenali sebagai Sentang Mukim Kertau dalam Daerah Maran. Mendengarkan ramai orang di darat, maka mereka pun singgah dan naik ke tebing untuk melihat keadaan sekeliling.Malangnya, kehadiran Sujudbilang dan abang-abangnya tidak diterima oleh penduduk di situ. Sehubungan itu, Sujudbilang dan abang-abangnya cuba berbaik-baik dengan orang Asli yang berada di sekitar sungai iaitu di kiri dan kanan Sungai Pahang. Dalam pada itu, Sujudbilang berkata kepada abang-abangnya, " Ramah-tamah pangkal, modal budi bahawa penambat hati pembuka manis, selera nafsu." Abang-abangnya faham akan maksud Sujudbilang tersebut.

 

 

 11  sejarah

 

Maka mulai hari itu, di mana ada kampung orang Asli pasti mereka akan singgah. Mereka memberi garam dan tembakau kepada orang-orang Asli tersebut. Begitulah cara mereka menambat hati orang-orang Asli yang ditemui. Sesudahnya mereka sampai di Pengkalan Batin Seridun. Apabila mereka tiba di sana, perahu ditambat, maka Sujudbilang dan abang-abangnya naik ke darat membawa garam dan tembakau. Jesteru itu, perhubungan Sujudbilang dan Batin Seridun menjadi semakin erat dan kukuh. Hal ini dapat dijelaskan melalui situasi di mana wujudnya persepakatan antara kedua-duanya, iaitu mereka bersama-sama keluar pada awal pagi dan pulang lewat petang dengan membawa balik barang-barang makanan.Pada waktu malam pula, mereka tidur meniarap di atas tanah yang telah diatur daun-daun kering sebagai alas tidur mengelilingi unggun api. Manakala kaum perempuan ditempatkan di suatu tempat khas yang berasingan dengan kaum lelaki. Dalam ramai-ramai itu, cuma anak perempuan tok batin yang tidak mahu melelapkan mata kalau tempat tidurnya tidak beralas.Mengikut cerita perkataan tidur dalam bahasa orang Asli ialah "mereloh". Maka tempat mereka tidur beramai-ramai itu dibahasakan sebagai tempat "mereloh". Oleh itu, Sujudbilang dan abang-abangnya memanggil tempat orang Asli itu tidur dengan "mereloh". Tetapi, oleh kerana perkataan "mereloh" itu panjang, maka ia dipendekkan kepada Temerloh supaya lebih senang menyebutnya. Itulah asalnya tempat yang dipanggil Temerloh dan Sungai Temerloh. Perhubungan Sujudbilang dan Batin Seridun menjadi lebih erat apabila Sujudbilang berkahwin dengan anak Batin Seridun yang bernama Bakoi. Dengan perkahwinan itu juga telah menyebabkan Batin Seridun dan orang-orangnya telah diIslamkan oleh Sujudbilang. Peristiwa itu juga dikatakan telah mengembangkan agama Islam di Pahang Tengah.Sehubungan itu, pada 1 Julai 1889, J.P Roger, Residen British yang pertama mulai menjalankan tugasnya sebagai Residen British di Pahang. Beliau juga telah membahagikan Pahang kepada enam kawasan pentadbiran iaitu Daerah Pekan, Rompin, Kuala Pahang, Kuantan, Temerloh dan Hulu Pahang. Hal ini bermakna, tempat tinggal Batin Seridun yang diberi kuasa kepada Sujudbilang telah dipilih sebagai nama salah sebuah daerah di Pahang iaitu Temerloh. Pada masa itu, bandarnya dikenali sebagai Kuala Semantan. Kuala Semantan telah ditukar kepada Temerloh semenjak bandar baru di barat bandar Kuala Semantan dibuka pada tahun 1898.

 

Sumber : Wikipedia.org